Guru Pendidikan Islam ikuti program latihan

    GURU Pendidikan Islam akan mengikuti beberapa program latihan bagi menyiapkan mereka dengan kehendak semakan semula kurikulum Pendidikan Islam.

    Kata Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd Dom, kehendak semakan itu banyak menjurus kepada pembangunan modal insan yang berteraskan Islam Hadhari.

    Walau bagaimanapun, beliau menolak sebarang isu yang mengaitkan kononnya semakan semula itu menunjukkan kurikulum yang sedia ada tidak mencukupi dan lemah.

    "Saya tidak melihatnya sedemikian rupa,'' tegas beliau kepada Utusan Malaysia di Putrajaya baru-baru ini.

    Bagi beliau, pendidikan adalah sesuatu yang bersifat dinamik, ``yang sering berubah dan diubah dengan tujuan penambahbaikan sesuai dengan keperluan dan kehendak masyarakat dan negara.''

    Antara motif semakan semula itu, tegas Ketua Pengarah Pelajaran adalah untuk menjadikan Pendidikan Islam lebih efektif, terutamanya dari segi aplikasi dan penghayatan.

    Pekara-perkara yang diliputinya ialah fungsi sebagai benteng keagamaan dan amalan nilai-nilai budaya bangsa, teori dan amalan, Fardu ain dan kifayah, bangsa dan negara, membina generasi Muslim yang kukuh iman, memahami tuntutan Fardu Kifayah, sentiasa berbakti kepada agama, bangsa dan negara serta berakhlak mulia.

    Sebab itulah, tegas Alimuddin, guru Pendidikan Islam perlu dilatih semula bagi memastikan matlamat pembinaan suatu tamadun dan peradaban dapat dicapai.

    Menurut beliau, penekanan khusus perlu diberikan terhadap orientasi baru, serta aspek kaedah pengajaran dan penyampaian supaya berupaya membentuk guru Pendidikan Islam yang berketrampilan dan mampu menggunakan strategi pemasaran yang betul dalam memasarkan produk pendidikan.

    ``Teori-teori dalam pengajaran dan pembelajaran ini perlu dikuasai juga pendidikan yang mengajar Pendidikan Islam,'' katanya.

    Bukan setakat itu sahaja, katanya, malah persekitaran yang menggalakkan budaya penyelidikan dan kreatif perlu diwujudkan dan dieksploitasi sepenuhnya.

    "Masyarakat juga perlu terlibat dalam pendidikan anak-anak di peringkat sekolah hinggalah ke peringkat menengah,'' ujarnya.

    Katanya, Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) Kementerian Pelajaran Malaysia iaitu membina negara bangsa, membangunkan modal insan serta memperkasa Sekolah Kebangsaan sebenarnya relevan dengan peranan dan fungsi guru mata pelajaran Pendidikan Islam bagi memartabatkan pelaksanaan kurikulum Pendidikan Islam yang berasaskan pendekatan Islam Hadhari.

    "Saya amat yakin hanya melalui Pendidikan Islam yang berkesan akan dapat memantapkan jati diri, komitmen yang tinggi terhadap tanggungjawab terhadap diri, keluarga, masyarakat dan negara,'' ujar Alimuddin.

    Sumber Portal Pendidikan Utusan


    0 Responses

Dengarkan Nasyid Fm