PENDIDIKAN MALAYSIA DI PERSADA MALAYSIA

    KURIKULUM Malaysia kini mencuri perhatian negara tertentu di dunia - misalnya, kurikulum Pendidikan Islam di sini telah mendapat pengiktirafan daripada International Bureau of Education di Geneva dan telah dijadikan sebagai rujukan bagi menggubal kurikulum Pendidikan Islam di Afghanistan.

    "Selain itu, Thailand memohon Malaysia membantu mereka menggubal kurikulum Pendidikan Islam dan latihan perguruan di Selatan Thailand,'' kata Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein di Putrajaya baru-baru ini.

    Beliau juga memberitahu, Kementerian Pelajaran telah diminta untuk memberi taklimat kepada negara lain seperti Vietnam, Filipina dan Indonesia.

    Bukan itu sahaja, tambah Hishammuddin, pada masa yang sama, latihan perguruan di Malaysia turut mendapat pengiktirafan antarabangsa.

    "Setakat ini, negara-negara Asean telah menghantar guru-guru mereka untuk menjalani latihan praperkhidmatan dan dalam perkhidmatan di IPG kita,'' ujar beliau.

    Pada bulan ini, katanya, sekumpulan pelajar dari Universiti Regina, Saskatchewan, Kanada akan menjalani program sandaran selama satu semester di Institut Perguruan Persekutuan di Pulau Pinang.

    "Hal ini adalah petunjuk kepada kualiti sistem pendidikan negara kita yang telah membuka mata dunia dan mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa,'' katanya.

    Menurut Hishammuddin, dalam laporan terbaru UNESCO Education Counts, Benchmarking Progress in 19 World Education Indicators (WEI) Countries 2007 disebut bahawa Malaysia dan Tunisia mempunyai pelaburan awam yang besar dalam pendidikan berbanding kebanyakan negara di dalam Organisation for Economic Cooperation and Development (OECD).

    Malaysia juga merupakan dalam kalangan negara dalam WEI yang berbelanja paling tinggi untuk pendidikan, iaitu 5.8 peratus daripada Keluaran Negara Kasar (KNK).

    "Segala ini menunjukkan komitmen kerajaan terhadap pendidikan dan pembangunan modal insan dalam kalangan rakyat negara ini,'' kata Hishammuddin.

    -Sumber: Portal Pendidikan Utusan

    0 Responses

Dengarkan Nasyid Fm