Guru Sebagai Model

    Bidang Perguruan Pada Pandangan Islam

    Berdasarkan kepada beberapa ayat di dalam al-Quran terdapat ayat-ayat yang menunjukkan keutamaan ilmu pengetahuan yang menjurus kepada bidang perguruan. Di antara ayat-ayat itu ialah :

    " Allah telah menyaksikan bahawasaNya tiada Tuhan melainkan Dia jua,begitu pula para Malaikat dan para ahli ilmu pengetahuan turut menyaksikan sama ,iaitu Tuhan yang berdiri di atas keadilan."
    [ ali-Imran : 18]

    Keterangan daripada ayat di atas ialah bahawa Allah S.W.T telah memulakan penyaksian itu dengan diriNya sendiri, keduanya dengan para Malaikat dan sesudah itu dengan para ahli ilmu pengetahuan. Dengan ini menunjukkan bahawa bidang ilmuan iaitu bidang yang dipeloporkan oleh para pendidik mempunyai kelebihan dan ketinggian martabatnya di sisi Allah S.W.T..Ini dapat juga dilihat daipada beberapa ayat yang diturunkan oleh Allah S.W.T seperti berikut :

    FirmanNya :

    "Allah telah mengangkat orang-orang yang beriman dari golongan kamu,dan begitu pula orang-orang yang dikurniakan ilmu pengetahuan beberapa darjat." [al-Mujadalah : 11]

    Keutamaan ilmu pengetahuan yang berkaitan dengan bidang perguruan juga terdapat di dalam hadis-hadis ,antaranya ialah :

    "Para ulama itu adalah warisan para Nabi."

    Antara Ciri-Ciri Pendidik Muslim

    1. Mempunyai sifat-sifat Rabbani
    Rabbani ialah sifat keTuhanan ,yang berasal daripada perkataan Rab iaitu Tuhan. Menurut tafsir Ibnu Kassir,bahawa orang-orang yang Rabbani ialah mereka yang mempunyai ciri berikut:

    * Sempurna ilmu pengetahuannya.
    * Ahli ibadah
    * Bertaqwa kepada Allah.

    Yang dimaksudkan dengan sempurna ilmu pengetahuannya ialah memilik ilmu pengetahuan yang sahih bermakna ilmu-ilmu yang dimiliki oleh sweseorang pendidik itu mestilah berdasarkan nas-nas yang sahih dan pendapat ulama yang muktabar.Kualiti ilmu seperti itulah yang diperturunkan kepada genarasi mudanya. Oleh yang demikian para murabbi merupakan orang yang tidak terpisah dari bidang ilmu. Mereka ini selalunya berusaha meningkatkan ilmu dalam berbagai cara dan jenis. Mereka ini juga mahir ‘ilmu asas’ , ‘ilmu wajib’ an ‘ilmu pengkhususan’.

    Bagi pendidik yang mempunyai sifat ahli ibadah bermaksud mereka mesti memahami konsep ibadah dalam islam iaitu dengan memelihara dan menghayati syariat samada dalam bidang akidah, amalan dan akhlak. Mereka juga akan sentiasa menunjuk ajar dan mengingati anak didiknya supaya beribadah hanya kepada Allah.

    Ciri-ciri pendidik yang bertaqwa kepada Allah ialah ianya sentiasa melaksanakan segala perintah Allah Azza Wajalla dan menjauhi segala larangaNya baik secara terang ataupun secara rahsia.

    Di antara ciri-ciri taqwa itu ialah :

    * Mudah menghadapi segala masalah di dalam hidupnya.
    * Gemar menunai dan membela sesuatu perkara yang hak.
    * Menjauhi segala yang batil dan salah.
    * Suka berterus terang dan tidak segan untuk meminta maaf.
    * Memiliki sifat-sifat terpuji.
    * Bijak memilih dan membuat keputusan.

    Hasil yang diperolehi daripada mempunyai sifat taqwa ialah seseorang itu akan mendapat perlindungan daripada Allah s.w.t dan hidupnya sentiasa berbahagia di dunia dan akhirat. Begitu juga golongan ini mempunyai kedudukan yang mulia di dalam kelompok masyarakat dan ianya sentiasa disenangi orang dalam pergaulan.

    2. Bersifat Zuhud.

    Golongan pendidik adalah menduduki tempat yang tertinggi dan suci di mana ianya adalah merupakan jurusan yang dipelopori oleh para Ambia dan Mursalin. Oleh yang demikian golongan ini harus mengetahui kewajipan yang sesuai dengan posisinya iaitu harusmenjadi seorang yang zuhud. Yang dimaksudkan dengan zuhud itu ialah memohon keredaan Allah, di mana seseorang pendidik muslim seharusnya mendidik dengan maksud mencari keredaan Ilahi, bukan kerana mencari upah, gaji atau pujian dan sanjungan dari makhluk.

    Hakikat daripada sifat zuhud itu ialah menyingkirkan segala apa yang disenangi oleh nafsu kerana mempunyai keyakinan bahawa ada sesuatu yang lebih baik daripada apa-apa yang telah disingkir tadi. Sudah tentulah bahawa yang lebih baik itu adalah keredaan Allah kerana anugerah Allah tiada bandingannya. Ini dapat dilihat daripada firman Allah yang bermaksud :

    "Barang siapa yang menginginkan tanaman akhirat, maka kami(Allah) tambah dalam tanamannya dan barang siapa yang inginkan tanaman dunia , maka kami akan datangkan keinginan itu dari hal keduniaan dan ia tidak mendapat bahagian aapa-apa di akhirat".
    (Asyura , ayat 20)

    Untuk menjadi orang yang zuhud itu di dalam hatinya wajib menepati tiga syarat iaitu :

    1. Tidak menjadi gembira dengan sesuatu yang ada dan tidak menjadi susah dengan sesuatu yang tiada.
    2. Perasaan hatinya sama sahaja dalam menghadapi orang memuji dan orang mencela.
    3. Merasa puashati dengan semata-mata menghadap kpada Allah dan yang dimenangkan dalam hatinya ialah kelazatan kebaktian serta bertaqarrub kepada Allah SWT.

    Daripada keterangan di atas tidak bermaksud bahawa bidang pendidikan itu tidak mewajibkan seseorang pendidik itu menerima gaji sebagai upah.Ini kerana apabila seseorang pekerja itu redha dengan upah yang ditawarkan semasa penawaran jawatan dan seterusnya menyempurnakan tugas-tugasnya, maka majikan wajib menyerahkan apa yang menjadi haknya (upahnya).

    Firman Allah bermaksud :

    " Dan bagi masing-masing mendapat darjah menurut apa yang telah mereka kerjakan dan agar Allah mencukupkan bagi mereka (balasan) pekerjaan-pekerjaan sedang mereka tidak dirugikan".
    (Al-Ahqaf – 19)

    Menurut pendapat Prof. Dr. Mohd Alhiyah Al-Abrssyo dalam kitabnya Attabiah Al-Islamiah, bahawa menerima upah (gaji) itu tidak bertentangan dengan maksud mencari keredaan Allah dan zuhud di dunia ini. Ini kerana betapa zuhud dan kesederhanaan seorang alim atau ulama` itu namun dalam hidupnya tetap memerlukan wang dan harta untuk keperluan hidup.

    3. Ikhlas Dan Benar Dalam Pekerjaan.

    Keikhlasan dan kejujuran dalam pekerjaan bagi seorang pendidik adalah jalan kejayaan perkhidmatan pendidik dan pelajarnya. Para murabbi hendaklah membersihkan niat mereka , di mana segala aktiviti pendidikan yang dijalankan adalah tidak kerana selain dari keredaan Allah. Ini kerana segala amalan yang tidak didasarkan atas keikhlasaan adalah sia-sia sahaja.

    Sabda Rasullah SAW bermaksud :

    " Sesungguhnya Allah Azza Wa Jalla tidak menerima amalan yang tidak disertakan dengan keikhlasaan , maka carilah keredaanNya".

    (Riwayatkan oleh Abu Daud dan An-Nasa`i.)

    Para Murabbi adalah contoh yang terdekat, berpengaruh dan istimewa serta dikagumi oleh murid-murid. Jestru itu setiap Murabbi hendaklah memiliki sifat benar dalam segala perbuatan, perkataan, niat, janji dan cita-citanya.

    Firman Allah bermaksud :

    "Wahai semua orang beriman, mengapa kamu mrengatakan apa yang tidak kamu perbuat ? Amat besar kebencian di sisi Allah bahawa kamu mengatakan apa-apa yang tidak kamu kerjakan". (As-Saf , ayat 2-3)

    Keikhlasan bagi setiap pendidik dapat dilihat dari ciri-ciri pendidik itu sendiri seperti melaksanakan apa yang dijanjikan, tingkahlakunya tidak bercanggah dengan ilmunya, ianya tidak segan mengaku tidak mengetahui , amanah hidupnya ialah ilmunya, jika ia tidak mengetahui sesuatu bidang itu maka ia tidak segan untuk mendalaminya dan dalam belajar ianya dapat merasakan dirinya sebagai murid untuk mencari kebenaran.

    0 Responses

Dengarkan Nasyid Fm