Kementerian wujud instrumen ukur penguasaan pelajar


    MENTERI Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata kecemerlangan akademik bukan lagi pencapaian mutlak tetapi kemampuan graduan dan memiliki kemahiran tertentu amat diperlukan pada masa kini.


    Katanya, penerapan dan penguasaan kemahiran insaniah itu bakal memberi impak positif terhadap modal insan seiring dengan keperluan industri serta perkembangan negara yang progresif.


    “Kementerian mengambil inisiatif untuk membangunkan sebuah instrumen bagi mengukur tahap penguasaan pelajar melalui Skala Kemahiran Insaniah Malaysia (Malaysian Soft Skills Scale - My3S).


    “Saya percaya dalam sedikit masa lagi, kita bakal mengetahui keputusannya dan sekali gus mengenalpasti tahap penguasaan pelajar dalam kemahiran insaniah yang dijalankan di IPT,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika merasmikan seminar sehari Amalan Terbaik Kemahiran Insaniah anjuran Pusat Kokurikulum Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan kerjasama Kementerian Pengajian Tinggi, di Dewan Kuliah Utama, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan UPM di Serdang, baru-baru ini.

    Khaled berkata, program yang dilaksanakan itu bakal menjadi wadah perkongsian ilmu dan pengetahuan tentang amalan serta strategi pelaksanaan pembangunan kemahiran insaniah dalam aktiviti kokurikulum.

    “Penganjuran seminar ini adalah satu langkah baik dan bertepatan dengan pendekatan pihak kementerian untuk tidak mahu lagi bertindak sebagai ‘regulator’, sebaliknya menjadi pemudah cara dalam urusan pelaksanaan program yang dijalankan di IPT.


    “Justeru, saya percaya bahawa dasar terbuka ini mampu menyumbangkan kita kepada pendekatan yang terbaik untuk melaksanakan satu-satu perkara termasuk kemahiran insaniah di IPT,” katanya.


    Sementara itu, Naib Canselor UPM, Prof Datuk Dr Nik Mustapha R Abdullah berkata, sebagai memperkukuhkan pelaksanaan aktiviti memperkayakan insaniah pelajar, UPM melalui pusat kokurikulum milik universiti itu akan mempergiatkan lagi usaha penulisan buku berkaitan kemahiran insaniah.

    Sumber Berita Harian: Pendidikan

    0 Responses

Dengarkan Nasyid Fm