Kajian PPSMI ke Kabinet sebulan lagi

    Hasil kajian mengenai dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) akan dikemukakan kepada Kabinet dalam tempoh sebulan dari sekarang.


    Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, pihaknya perlu membuat kajian terperinci termasuk menerima maklum balas daripada kementerian lain sebelum membentangkannya ke jemaah menteri.

    Beliau juga menegaskan, keputusan Kabinet mengenai PPSMI tidak ada kaitan dengan tiga pilihan raya kecil bulan depan atau pemilihan dalam Perhimpunan Agung UMNO hujung bulan ini.

    "Satu memorandum telah diedarkan kepada semua kementerian untuk mereka membuat ulasan dan pandangan berhubung dasar PPSMI.

    "Kabinet akan membuat keputusan selepas kita mengemukakan laporan yang diperoleh daripada semua kementerian yang dijangka selesai dalam bulan ini juga," katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan tertutup dengan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob di Kediaman Rasmi Menteri Besar di sini hari ini.

    Beliau mengulas arahan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang mahu isu PPSMI diselesaikan segera selepas berlaku kekecohan dalam perhimpunan anjuran Gerakan Memansuh PPSMI (GMP) di ibu negara baru-baru ini.

    Hishammuddin menegaskan, beliau telah menemui Perdana Menteri dan memberi penjelasan berhubung perkembangan kajian yang dijalankan oleh kementeriannya.

    Tegas beliau, keputusan untuk memansuhkan atau meneruskan dasar itu tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya kerana banyak pihak yang terlibat dalam pelaksanaannya.

    Beliau berkata, sejak dasar itu dilaksanakan pada 2003, seramai 6.1 juta pelajar dan 126,000 guru terlibat manakala RM3 bilion dilaburkan oleh kerajaan.

    "Para pejuang bahasa mungkin tidak perasan dengan isu-isu yang membabitkan pelajar, guru dan peruntukan yang dilaburkan oleh kerajaan sejak 2003 ini," katanya.

    Beliau bagaimanapun mengakui keikhlasan pejuang bahasa terutama Datuk Dr. Hassan Ahmad dan Datuk A. Samad Said yang berjuang untuk memansuhkan dasar PPSMI.

    Katanya, beliau bersedia bertemu dengan mereka tetapi dengan syarat bahawa kekecohan yang berlaku di ibu negara baru-baru ini tidak berulang.

    -Portal Pendidikan Islam

    0 Responses

Dengarkan Nasyid Fm